Rabu, 20 April 2011

ciri-ciri fizikal harimau Variasi harimau

Ciri-ciri fizikal

Harimau Siberia.
Harimau merupakan spesies kucing liar yang paling terkenal (selain singa). Harimau biasanya berbulu kemerahan atau perang berkarat, bulu dadanya berwarna keputihan, "berjambul" putih melilit mukanya, dan belang-belang yang berwarna perang, kelabu atau hitam. Setiap subspesies harimau memiliki bentuk dan kepadatan belang yang berlainan dari subspesies yang lain (di samping juga corak warna bulunya; misalnya, harimau Siberia berwarna lebih pudar berbanding subspesies yang lain). Kebanyakan harimau memiliki lebih 100 batang belang. Setiap harimau memiliki corak belang yang unik kepadanya, oleh itu mungkin ada gunanya untuk mengenal pasti harimau individu, seperti mana cap jari digunakan untuk mengenal pasti orang. Walaupun begitu, ini bukan cara yang biasa digunakan kerana sukarnya merakam corak belang seekor harimau liar. Mungkin sekali belang berfungsi sebagai alat penyamaran untuk membantu harimau menyorokkan diri dalam bayang bertelau-telau dan rumput panjang di persekitarannya, sambil menghendap mangsanya. Apabila bulu harimau dicukur, corak belang yang sama dengan bulunya juga kelihatan. Seperti spesies kucing besar yang lain, terdapat bintik putih di belakang kedua-dua belah telinga harimau.
Rangka harimau.
Tigers juga digeruni sebagai kucing yang paling berat di hutan belantara.Harimau juga memiliki kaki dan bahu yang amat kuat, yang membolehkannya mengheret mangsa yang lebih berat daripada dirinya. Bagaimanapun, setiap subspesies berlainan saiznya dengan satu sama lain, apalagi lebih tinggi latitud habitatnya maka lebih besar subspesiesnya, selaras dengan hukum Bergmann. Maka, harimau Siberia (Panthera tigris altaica) jantan yang lebih besar boleh mencapai kepanjangan 3.5 m "ikut lengkung" (3.3 m. "ukuran lurus") dan berat 306 kilogram, iaitu lebih besar berbanding harimau-harimau yang tinggal di kepulauan seperti harimau Sumatera, iaitu subspesies hidup yang terkecil dengan berat badan setakat 75–140 kg sahaja. Harimau betina lebih kecil berbanding harimau jantan dalam setiap subspesies. Perbezaan saiz antara harimau jantan dan betina lebih ketara dalam subspesies yang lebih besar, iaitu berat harimau jantan bersamaan dengan 1.7 kali berat harimau betina. Selain itu, harimau jantan lebih luas tapak kaki depannya berbanding harimau betina. Perbezaan ini sering digunakan oleh ahli biologi untuk menentukan jantina harimau apabila memerhati kesan tapak kakinya. Tengkorak harimau amat serupa dengan tengkorak singa, cuma bahagian hadapannya tidak begitu tertekan atau rata, dengan kawasan postorbital yang lebih panjang sedikit berbanding tengkorak singa yang lebih lebar lubang hidungnya. Namun begitu, disebabkan perbezaan tengkorak kedua-dua spesies tersebut tidak begitu ketara, spesies pemilik tengkorak biasanya hanya dapat ditentukan melalui struktur rahang bawahnya.




Variasi Harimau

Harimau putih

Sepasang harimau putih di Taman Haiwan Singapura.
Hasil daripada mutasi, wujudnya harimau putih atau chinchilla albinisticyang jarang ditemui di alam liar, tetapi banyak terdapat dalam zoo. Cubaan membiak baka harimau putih sering mengakibatkan pembiakbakaan dalam (kerana ciri ini adalah resesif). Banyak inisiatif telah diambil untuk mengawankan harimau putih bersama harimau jingga untuk menyelesaikan masalah ini, termasuk mencampurkan subspesies. Pembiakbakaan dalaman sebegini boleh menyebabkan harimau putih mengalami kecacatan fizikal seperti lelangit rekah dan skoliosis (kelengkungan tulang belakang).Lebih-lebih lagi, harimau putih cenderung bermata juling (iaitu strabismus). Walaupun kelihatan sihat, hayat harimau putih selalunya tidak sepanjang harimau jingga. Catatan mengenai harimau putih mula-mula dirakamkan pada awal abad ke-19. Harimau putih hanya lahir kepada kedua-dua induk yang membawa gen jarang yang ditemui dalam harimau putih; dihitungkan hanya satu daripada 10,000 kelahiran yang berjaya mewarisi gen ini. Harimau putih ini bukan subspesies yang berasingan, cuma sekadar kelainan warna; memandangkan subspesies Benggala sahajalah yang diperhatikan adanya harimau putih di kalangannya dalam alam liar (di samping semua harimau putih dalam kurungan sekurang-kurangnya berkacukan Benggala), maka adalah sangkaan ramai bahawa gen resesif inilah yang menyebabkan pemutihan ini hanya dibawa oleh harimau Benggala, itupun tidak diketahui sebab-sebabnya


Harimau belang emas

Seekor harimau belang emas/strawberi di Zoo Buffalo.
Selain harimau putih, wujudnya satu lagi jenis gen resesif yang boleh menzahirkan kelainan warna "belang emas" (golden tabby) atau "strawberi" yang luar biasa sekali. Dari segi warna, harimau belang emas berbulu emas muda, berkaki pucat dan berbelang jingga pudar. Bulunya juga lebih tebal dari biasa. Dalam kurungan cuma ada 30 ekor harimau ini. Seperti harimau putih juga, harimau strawberi ini sekurang-kurangnya berkacukan Benggala. Sesetengah harimau belang emas, iaitu harimau heterozigot, membawa gen harimau putih, dan apabila dua ekor harimau sebegini mengawan, maka boleh terlahirnya anak harimau putih tanpa belang. Kedua-dua harimau putih dan belang emas selalunya lebih besar berbanding harimau Benggala yang biasa.
Pada pokoknya, harimau merupakan haiwan yang berkelakuan bersendirian dan kewilayahan. Saiz liputan tempat tinggal harimau banyak bergantung pada kecukupan mangsa dan peluang mengawan. Seekor harimau betina boleh menguasai wilayah seluas 20 kilometer persegi, manakala harimau jantan pula lebih luas wilayahnnya, iaitu sekitar 60–100 km2. Liputan wilayah seekor harimau jantan sering bertindan dengan beberapa wilayah harimau betina.
Kebanyakan harimau gemar bersendirian.
Hubungan antara harimau individu agak kompleks, kerana nampaknya harimau tidak mengikuti apa-apa "ketetapan" berkenaan hak kewilayahan dan pencerobohan wilayah. Contohnya, walaupun sering mengelakkan diri dari satu sama lain, namun pernah dirakamkan juga harimau jantan mahupun betina berkongsi habuan buruannya. Misalnya, George Schaller memerhati seekor harimau jantan berkongsi habuan dengan dua ekor harimau betina dan empat ekor anak harimau. Harimau betina biasanya keberatan untuk membenarkan harimau jantan mendekati anak-anaknya, tetapi Schaller memerhati harimau betina tersebut tidak berbuat apa-apa untuk melindungi anak-anaknya dari harimau jantan, jadi mungkin sekali harimau jantan itu merupakan bapa kepada anak-anak harimau itu. Harimau jantan membenarkan harimau betina dan anak-anaknya memakan habuan dahulu. Lebih-lebih lagi, harimau kelihatan agak berbaik-baik berkongsi habuan, berbanding dengan singa yang cenderung berkelahi dan berbalah. Pernah diperhatikan juga harimau bukan saudara memakan mangsa bersama-sama. Rangkap berikut dipetik dari buku Stephen Mills yang berjudul Tiger, yang mana beliau mengisahkan peristiwa yang disaksikan oleh Valmik Thapar dan Fateh Singh Rathore di Ranthambhore:
Seekor harimau betina dominan yang bergelar Padmini membunuh seekor nilgai (sejenis antelop besar) jantan seberat 250 kg (550-lb). Mereka menemui Padmini bersama habuannya dan anak-anaknya yang berusia 14 bulan, sebaik sahaja selepas waktu subuh lalu memerhatinya tanpa henti selama sepuluh jam. Sepanjang berjam-jam ini, keluarga Padmini disertai oleh dua harimau betina dan seekor harimau jantan, ketiga-tiganya juga kelahiran seperanak Padmini yang dahulu; ditambah oleh dua harimau bukan saudara, iaitu seekor betina dan seekor lagi tidak pasti jantinanya. Pada pukul tiga, terdapat sembilan ekor harimau di sekeliling habuan itu.
Harimau betina muda cenderung mengasaskan wilayah pertamanya berhampiran dengan kawasan induknya. Lama-kelamaan pertindanan wilayah harimau betina muda itu dengan ibunya semakin berkurangan. Harimau jantan pula lebih berjauhan dari induk berbanding harimau betina, iaitu keluar pada usia yang agak muda untuk menandakan kawasan sendiri. Seekor harimau jantan muda memperoleh wilayahnya sama ada dengan mencari liputan yang tiada harimau jantan yang lain, atau tinggal dalam wilayah harimau jantan lain buat seketika, sehingga usianya dan kekuatannya mencukupi untuk mencabar tuan rumahnya. Kadar kematian tertinggi (30-35% setahun) di kalangan harimau jantan berlaku di kalangan harimau jantan muda yang baru meninggalkan kawasan induknya untuk mencari wilayah sendiri.
Dua beradik harimau Benggala jantan bermain di Taman Simpanan Harimau Pilibhit, India.
Harimau jantan lebih tidak tahan dengan kehadiran jantan yang lain dalam wilayahnya berbanding harimau betina terhadap betina yang lain. Walaupun begitu, perbalahan wilayah selalunya dileraikan dengan sekadar menakut-nakutkan satu sama lain daripada tindakan agresif terang-terangan. Beginilah yang diperhati dalam peristiwa-peristiwa sedemikan, yang mana harimau menandakan penyerahan kalah dengan bergolek pada belakangnya sambil mendedahkan dadanya secara postur menyerah. Selepas itu, harimau jantan yang dominan boleh bertoleransi dengan peserahnya dalam liputannya, asalkan tidak terlalu berhampiran sesama sendiri. Perbalahan yang ganas sekali boleh tercetus antara dua ekor harimau jantan apabila seekor harimau betina sedang mengalami estrus, hingga boleh berakhir dengan kematian sebelah pihak, inipun jarang berlaku.
Untuk menandakan wilayahnya, harimau jantan membuang air pada pokok, di samping meninggalkan jejak dengan . Harimau jantan mengerut mukanya apabila mengesan kesuburan seekor harimau betina dengan menghidu air kencing harimau betina.
Pelbagai teknik telah digunakan untuk mengkaji harimau di alam liar. Pada awalnya, bilangan harimau dianggarkan dengan mengisi kesan jejak kakinya dengan acuan lepa, sehingga kaedah ini didapati kurang berkesan lalu diganti oleh cubaan kaedah menggunakan rakaman kamera. Teknik-teknik terkini yang menggunakan DNA yang dipetik pada tinjanya juga dinilai. Kaedah relang leber radio juga diterima secara meluas untuk menjejaki harimau liar untuk tujuan penyelidikan.
 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar